Kenapa penyelidik perlu menulis?

picture of old typewriter

Melakukan penyelidikan bukan sahaja melakukan penelitian, eksperimen atau kerja-kerja lapangan (meneroka, mengumpul sampel, membina prototaip dsb). Pada masa yang sama penyelidik juga perlu menghasilkan penulisan. Tugas penyelidikan sememangnya tidak dapat lari dari melakukan penulisan. Maksud ‘penulisan’ di sini bukanlah setakat menulis sebaris dua ayat atau menulis karangan tidak formal. Tetapi yang dimaksudkan adalah penulisan saintifik dan teknikal seperti artikel jurnal, buku teks dsb.

Ada beberapa sebab kenapa penyelidik perlu mahir menulis (dan aktif menulis). Antaranya:

Sebab 1: Menulis ialah satu cara untuk kita merekodkan kajian/penyelidikan kita dalam format yang tersusun dan kemas, supaya boleh dirujuk oleh penyelidik lain ataupun kita sendiri pada masa akan datang. Justeru penulisan merupakan satu kaedah merekodkan penyelidikan. Ini juga membantu kita dan penyelidik lain menyemak dan mengesahkan proses dan hasil sesuatu penyelidikan sekiranya berlaku kesilapan, kecuaian, penipuan dan sebagainya.

Sebab 2: Menulis ialah satu cara kita mewar-warkan tentang penyelidikan kita dan juga hasilnya kepada penyelidik lain yang berminat terhadap penyelidikan kita. Dengan ini, akan memudahkan penyelidik lain untuk mengikuti perkembangan selain mendapatkan maklumat untuk rujukan. Ini juga secara tidak langsung menjadi satu bentuk promosi kepada hasil kajian, terutama yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Sebab 3: Penyelidikan boleh dianggap satu bentuk pembelajaran. Apabila kita mempelajari sesuatu yang baru, sepatutnya kita ajarkan kepada orang lain. Ada juga penyelidik yang memang teruja (excited) untuk menceritakan dan menerangkan hasil penyelidikannya kepada orang lain. Jadi menulis adalah satu cara untuk menerangkan (mengajar) tentang proses penyelidikan kita (dan hasilnya) kepada orang lain yang ingin mempelajarinya.

Sebab 4: Kajian/penyelidikan saintifik perlu melibatkan perdebatan (penghujahan). Sepatutnya setiap penyelidikan dan penemuan saintifik perlu melalui suatu peringkat perdebatan di kalangan pengamal dan penyelidik di dalam sesuatu bidang. Ini bagi memastikan penyelidikan itu mendapat pengiktirafan daripada penyelidik-penyelidik lain (sekaligus memudahkan ia diterimapakai dan diperakui kesahihannya). Salah satu kaedah perdebatan ialah melalui penulisan (artikel jurnal, surat perhubungan (communication letter) dsb). Melalui penulisan, kita sbg penyelidik dapat membahaskan idea dan penemuan kita, mengkritik dan memperbaiki kelemahan penyelidikan dan hujah orang lain, selain mengembangkan suatu ilmu melalui perbincangan dan perbahasan cth ilmu teori.

Sebab 5: Satu ciri (yg saya dapati) diamalkan oleh ilmuan dan penyelidik-penyelidik ialah menulis. Sebagai seorang penyelidik, kita sebenarnya adalah seorang ilmuan kerana kita mengkaji (mempelajari dan memahami seterusnya mengetahui) ilmu-ilmu baru yang dirasakan belum diketahui dan perlu diajarkan kepada umum. Penulisan dapat memastikan proses pembelajaran/pengajaran ilmu sentiasa berterusan dan berkembang. Justeru jika kita tidak mahu (atau belum) menghasilkan penulisan, kita belum layak digelar ilmuan, dan mungkin tidak layak bergelar penyelidik.

Sebab 6: Memperbanyakkan bahan rujukan. Proses pengembangan ilmu bergantung kepada koleksi bahan rujukan, selain melalui perbincangan antara individu. Ada masanya kita tidak dapat berbincang dengan orang lain disebabkan kekangan masa, lokasi dan sebagainya. Melalui rekod-rekod, bahan bacaan dan rujukan dapat membolehkan pengembangan ilmu terus berjalan dan dilaksanakan walaupun dengan hanya kehadiran satu pihak sahaja.


Apakah bentuk penulisan yang perlu/boleh ditulis?
Ada beberapa bentuk. Antaranya ialah:

 

1) Artikel prosiding
Artikel prosiding biasanya kita tulis untuk memberitahu proses awal penyelidikan yang sedang berjalan atau penemuan-penemuan tertentu di dalam sesuatu penyelidikan. Biasanya lebih kepada mewar-warkan hasil awal penyelidikan bagi tujuan perbincangan. Justeru artikel prosiding akan diterbitkan selepas sesuatu konferens, seminar atau simposium, di mana acara-acara ini memerlukan kita membuat pembentangan atau pameran poster.

2) Artikel jurnal
Artikel jurnal ialah penulisan yang menerangkan sesuatu penyelidikan atau kajian lengkap. Biasanya kita menulis artikel jurnal untuk menerangkan / menyampaikan maklumat penyelidikan kita secara lengkap – daripada proses pengumpulan data dan penerangan masalah sehinggalah kepada kesimpulan. Artikel jurnal lambat untuk diterbitkan. Namun mutakhir ini jurnal elektronik (cth: jurnal internet) sudah diwujudkan bagi memudahkan capaian dan mempercepatkan proses penerbitannya.

Selain yang dinyatakan, penulisan-penulisan lain ialah surat perhubungan, lecture notes, buku teks/rujukan, tesis dan sebagainya. Setiap penulisan perlu mengikut format yang tertentu. Format artikel bergantung kepada pihak penerbit dan penganjur seminar/konferens.


Panduan PALING PENTING menghasilkan penulisan penyelidikan.
Bagi memastikan penulisan kita dipertimbangkan oleh penerbit,

 

1) Amanah, jujur dan beretika.
2) Pastikan maklumat itu benar-benar penting untuk diketahui umum.
3) Sebaiknya kandungan penulisan mestilah yang baru (novel). Ada pihak yang reject penulisan yang penting kalau penulisan itu pernah ditulis/diterbitkan oleh penyelidik lain.
4) Ikut format penulisan yang disyaratkan.
5) Juga ketahui panduan umum penulisan akademik mengikut bidang masing-masing cth: berdasarkan aturan – pengenalan, kaedah, dapatan, kesimpulan – dan sebagainya.

Selebihnya penerimaan penerbit mungkin bergantung kepada kemahiran kita sebagai penulis dan rezeki. Walau bagaimanapun, sebab paling penting mengapa penyelidik perlu menulis ialah – untuk menyampai dan menerangkan sesuatu ilmu kepada orang lain. Tak perlu difikirkan sangat sama ada penulisan kita diterima/ditolak oleh penerbit, kerana jika kita telah berusaha menulis yang terbaik maka anggaplah kita telah berjaya menghasilkan sesuatu yg berguna. (Jika penulisan kita ditolak (rejected) oleh penerbit tertentu, cuba hantar kepada yang lain).


Bagaimana nak jadi penulis yang baik?

 

Entah. Saya bukan penulis yang bagus, penerbit atau penyunting. Semua yang di atas sekadar sebagai panduan berdasarkan pengalaman saya yang tak banyak mana. Tetapi saya perbanyakkan berlatih menulis secara ‘saintifik’ dan formal seperti jurnal penyelidikan harian saya (ala-ala diari), artikel-artikel seminar kecil dan sebagainya. Selain sebagai latihan, penulisan ‘mudah’ akan mendorong dan menaikkan semangat kita sebab penulisannya lebih mudah dan ringkas. Apabila dah yakin dan mahir, bolehlah sasarkan jurnal antarabangsa pula! Perbanyakkan membaca penulisan orang lain (terutama daripada pakar). Juga perbanyakkan doa, bermunajat dan ibadah supaya Allah permudahkan urusan kita.

Bagi yang masih ragu-ragu (anda tak yakin blh menulis) –

6 tahun lepas saya tidak tahu apa itu artikel penyelidikan. 4 tahun lepas saya masih tidak tahu tentang kepentingan menghadiri konferens mahupun menulis artikel jurnal. 2 tahun lepas saya masih tidak tahu format penulisan artikel konferens yg betul. Tahun lepas artikel konferens saya ditolak. Hari ini saya dah pun hasilkan 14 artikel konferens dan jurnal, termasuk 2 jurnal antarabangsa (satunya ialah ACM Computing Surveys, salah satu jurnal penyelidikan antarabangsa paling terkenal bidang komputer). Daripada karangan taraf ‘budak sekolah’, saya dah yakin utk menulis artikel penyelidikan 40 muka surat. Diterima/ditolak, soal kedua. Dan saya belum puas hati. Kenapa? Sebab semua ini blm sampai 1% daripada hasil penulisan penyelidik yang terkenal. Kerana yang penting adalah kita menyumbangkan sesuatu. Saya mahu menghasilkan hasil penyelidikan yang boleh menang Nobel. Kalau saya boleh, mengapa anda tidak?

Apapun, rajin-rajinlah menulis. Mudah-mudahan berkembang-biaklah ilmu dan penyelidikan di Malaysia.

* pic source: http://www.thebespokenfor.net/ronsfashionlife/2009/05/the-nuclear-winter-of-fashion-.html

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s