‘Transformers’ dan penyelidikan

Bagi yang belum kenal, Transformers merupakan siri permainan keluaran Hasbro yang dipanjangkan kepada siri animasi tv, komik, permainan video dan filem. Jalan ceritanya berkisar tentang peperangan antara pihak Autobots dan Decepticons (Destrons) untuk menguasai Planet Cybertron. Apabila Cybertron musnah, peperangan/pertembungan ini berlanjutan apabila robot-robot tersebut melarikan diri ke bumi.

Peperangan Autobots-Decepticons bermula di Cybertron - gambar hiasan. Sumber ( Source ) : http://www.coronacomingattractions.com

Transformers sudah diperkenal dan popular sejak awal 80-an. Hingga ke hari ini, jenama Transformers masih lagi laris di pasaran. Bahkan diterbitkan pula pelbagai generasi baharu yang memberi variasi kepada watak-watak asalnya, manakala versi filem pula bakal menayangkan lanjutan yang ketiga  – ROTF- Dark of the Moon. Peminatnya pula mencecah jutaan orang di seluruh dunia, daripada kanak-kanak hinggalah yang dewasa. (Sebagai peminat permainan Transformers, sedikit sebanyak saya dapat merasai keterujaan peminat-peminat siri ini, dan memahami mengapa ia cukup popular). Untuk mengetahui lebih lanjut anda boleh cari maklumat tentang Transformers di internet. Banyak maklumat mengenainya yang boleh diperolehi dengan mudah.

Apa yang ingin diperkatakan di sini bukanlah untuk mempopularkan watak-watak Transformers mahupun sirinya. Tetapi saya lebih memfokuskan tentang apa yang kita boleh pelajari daripada konsep watak Transformers. Saya meminati Transformers adalah kerana kebolehan robot (watak Transformers) berubah-ubah rupa; iaitu daripada robot kepada penyamarannya, ataupun sebaliknya. Penyamaran robot itu pula ada berbagai-bagai. Sebahagiannya boleh bertukar dan menyamar sebagai kenderaan, senjata perang, pesawat atau kapal terbang, dan sebagainya. Ada pula yang boleh berubah menjadi alat-alat kegunaan harian seperti mikroskop, kamera, radio dan sebagainya yang membantu memantapkan penyamaran masing-masing. Kemudian idea penyamaran ini dikembangkan lagi kepada bentuk haiwan (mekanikal), sekaligus mempelbagaikan variasi watak dan jalan cerita siri Transformers. Manakala watak Transformers yang berperasaan dan boleh dibuat kawan, mungkin turut menarik minat sesetengah peminat Transformers.

Saya merasakan konsep penyamarannya masih kurang penting untuk diperkatakan – cth: berkesan ke menyamar jadi lori? Paling tidak buat masa sekarang. Namun yang menarik untuk diperkatakan ialah bagaimana suatu perubahan bentuk (robot-samaran, samaran-robot) itu boleh direalisasikan. Setakat ini perubahan bentuk robot-robot tersebut hanya mampu ditampilkan dalam bentuk animasi (2D, 3D), secara visual atau khayalan sahaja. Secara realitinya, walaupun permainan-permainan yang menyerupai watak tersebut telah dapat dibina, namun ‘keupayaan  menukar rupa’ ini tidaklah betul-betul boleh dibina. Bahkan masih lagi di tahap ‘mengarut’ dan tidak logik.

Sebagai contoh, watak Bumblebee merupakan robot yang berubah menjadi kereta, dan watak ini berjaya direalisasikan dalam bentuk permainan. Perubahan bentuknya membolehkan dia wujud sebagai robot, kemudian berubah menjadi kereta (Volkswagon, Chevrolet Camaro dll). Akan tetapi, konsep pembentukan robot-samaran itu tidak realistik. Ini kerana, semasa menyamar (sebagai kereta) semua ruang yang selalunya wujud pada sebuah kereta habis digunakan untuk menyimpan aksesori yang diperlukan oleh robot (misalnya kepala robot, tangan dsb., disimpan di bahagian ‘boot’ dan ruang enjin). Manakala semasa mod robot, komponen kereta seperti enjin (kalau ada), pintu kereta dan sebagainya akan dipecah-pecah dan bergantungan di sekeliling robot. Bahkan, tiub tayar atau enjin pun boleh berpecah dua! Ada juga versi yang tidak mampu bergerak bebas atau artikulasinya tersekat disebabkan salah letak komponen. Adalah mustahil bentuk kereta hari ini untuk diubah menjadi Transformers. Begitu juga robot-robot yang penuh dengan litar, omboh, injap dan sebagainya, belum mampu menampung / dijadikan tempat menyimpan aksesori kereta (atau mod samarannya). Teknologi robot dan kereta pada hari ini tidak mengizinkan makhluk seperti watak-watak Transformers untuk menjadi realiti.

Membina sebuah jentera yang boleh menyamar seperti Transformers  bukan sahaja memerlukan teknologi, malah kreativiti yang tinggi. Teknologi dan kreativiti yang diperlukan bagi merealisasikan Transformers sebenarnya merangkumi banyak aspek. Antaranya:

  • Aspek penyamaran memerlukan perekabentuk memikirkan bagaimana untuk membentuk mekanisma perubahan daripada jentera/robot kepada mod samaran, dan perubahan sebaliknya.
  • Setiap samaran itu pula dapat mempamerkan penyamaran yang jitu, iaitu tidak menimbulkan syak orang yang melihatnya (yakni objek itu sebenarnya robot yang menyamar!)
  • Kemudian penukaran itu pula perlu dilakukan dengan pantas, tepat dan lancar. Setakat injap hidraulik yang bergerak perlahan-lahan belum cukup untuk kepantasan berubah bentuk. Maka suatu bentuk teknologi (selain injap hidraulik) mungkin perlu dicipta bagi memenuhi keperluan jentera seperti Transformers. Misalnya motor magnetik yang hanya berfungsi dengan tenaga elektrostatik dan magnet!
  • Kebanyakan komponen robot hari ini sangat kompleks, dan sarat dengan komponen-komponen yang sukar untuk disembunyikan semasa penyamaran. Jadi bagaimana atau apakah teknologi yang boleh digunakan untuk menghasilkan komponen robot yang kecil dan boleh disorok dengan mudah semasa penyamaran? Nanoteknologi?
  • Bahan kuasanya pula bagaimana? Takkanlah hanya menggunakan bateri sel? Adakah ia tahan lama? Sel bateri yang berkuasa mungkin perlukan ruang bersaiz sebuah motorsikal. Penjana nuklear?

Sebenarnya banyak lagi aspek-aspek teknologi dan kreativiti yang hebat-hebat perlu difikirkan untuk membina jentera seperti Transformers. Walaupun pada dasarnya ia hanyalah sebuah siri tv atau permainan, kita boleh mendapatkan maklumat atau inspirasi yang berguna untuk membangunkan teknologi dan menjana kreativiti. Nah, bukankah ini satu sumber idea yang baik untuk memulakan penyelidikan?

Nota hujung : Tulisan ini bukanlah berbentuk ilmiah. Tapi saya sekadar ingin menukilkan sedikit sebanyak idea yang bermain di fikiran untuk difikirkan bersama. Mungkin satu hari nanti tanpa kita sedari, kita telah terserempak dengan Bumblebee  sedang berlegar di sekitar Kuala Lumpur …

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s